Thursday, May 9, 2013

Aku Rimas!! # Tribute to PRU13


Aku rimas..
Kala ini aku benar-benar rimas
Rimas dengan setiap hujah manusia
Yang mengaku diri bijak
Lebih bijak dari orang lain
Berbalah, bertelingkah menjadi menu santapan utama
Diskusi pula hampir tiada
Masing-masing petah menyusun buah bicara
Menegakkan fahaman dan ideologi tersendiri
Dengan bunga bahasa yang cukup INDAH halwa mata
Tapi mengapa?
Begitu mudah mereka menghukum
Yang berlainan fahaman dikatakan bodoh, tolol
Berbeza ideologi dikatanya kolot
Bertingkah pendapat apatah lagi
Hukum apakah ini?

Aku rimas
Kala ini aku benar-benar rimas
Setiap mereka ada hujah
Dan tanpa henti mereka berhujah
Mereka kata hujah mereka lebih bernas
Lebih up-to-date dari yang satu lagi
Dan mereka tidak kenal erti putus asa
Menunjuk gagah kepada lawan durjana
Satu persatu langkah dibuka
Satu persatu senjata diacu
Tanpa mereka sedar
Musuh yang lain tersenyum
Terloncat gembira
“Mudahlah kerja kita” kata mereka

Aku rimas
Kala ini aku benar-benar rimas
Rimas dengan sang fitnah yang makin bermaharajalela
Begitu mudah merajai, menghasut kotak fikiran manusia
Apa mereka tidak terfikir?
Setiap kata itu dihitung
Apatah lagi yang namanya fitnah
Apa mereka tidak mampu berfikir?
Siapa sahaja mampu ‘melahirkan’ sang fitnah itu
Apatah lagi mencanangnya ke serata dunia
Apakah mereka malas berfikir?
Atau sengaja membiarkan akal berhenti untuk berfikir?

Aku rimas
Kala ini aku benar-benar rimas
Rimas dengan pertelingkahan yang tiada hentinya
Dan aku bertambah bingung
Datangnya orang ketiga bukan sebagai pemudah bicara
Bukan juga sebagai air yang memadamkan apinya
Malah yang ketiga, keempat mahupun kelima
Bangga menjadi Si Minyak
Memarakkan lagi api kebencian
Dalam gelanggang perdebatan yang aku kira pertelingkahan
Dan akalku mula mencerna
Inikah yang dikatakan PEMIMPIN MASA HADAPAN?

Aku rimas
Kala ini aku benar-benar rimas
Rimas dengan dia, mereka dan semua
Yang hanya tahu menunding jari
Menghunus Si Telunjuk lurus kearah lawan
Apa mereka tidak sedar?
Yang empat lagi kearah mana?

Tapi
Aku tahu tiada yang akan ambil peduli
Jika aku menjerit, melolong hatta melalak sekalipun
Menjerit AKU RIMAS!
Melolong AKU RIMAS!!
Melalak AKU RIMAS!!!
Aku tahu tiada siapa yang peduli
Selagi akal dikawal nafsu
Selagi amarah tidak dilampias secukupnya
Selagi itu, RIMAS tidak akan berhenti
Dan aku sedar
MEREKA HANYA PERCAYA APA YANG MEREKA MAHU PERCAYA

Dan
Aku rimas
Benar, aku benar-benar rimas
Ayuh bangsaku!
Kita bersatu
Di bawah panji satu Malaysia
Buangkan segala kebencian
Tanamkan rasa sayang
Malaysia harmoni itu idaman hati

#"Bangsaku" in terms of bangsa Malaysia (Melayu, Cina, India, Bumiputra).
#I'm not racism and this is non-partisan entry.
#And I really really mean no harm. 
# Towards the PEACE of MALAYSIA!

No comments:

Post a Comment